1.2 Adab Membaca Al-Quran
Bersiwak
Antara adab terpenting sebelum membaca Al-Quran ialah, bersiwak. Sabda
Nabi SAW: “Sesungguhnya mulutmu adalah perantaraan Al-Quran, Maka
segarkanlah ia dengan bersiwak.” (HR Ibnu Majah dan Al-Bazzar)
Boleh menonton video ini untuk melihat fadhilat siwak
dan cara-cara menggunakannya. Harga siwak sebetulnya tidak mahal. Hanya
beberapa ringgit. Dalam video ini terdapat cerita seorang imam, sanggup
membayar sejuta Rupiah (nilai duit Indonesia yang menyamai nilai RM290.88
pertukaran duit semasa) untuk mendapatkan siwak baru.
Alasannya apabila ditanya, beliau menjawab, “untuk
mengikuti sunnah dan mahu mendapat redha Allah”.
Menghadap Kiblat
Umat Islam digalakkan untuk membaca Al-Quran dengan menghadap
kiblat. Sabda Nabi SAW; “Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap
kiblat.”(HR At-Tabrani)
Membaca Al-Quran dibolehkan dalam keadaan duduk, berdiri dan
berbaring atau dengan apa cara sekalipun, ia mendapat pahala kerana membaca
ayat Al-Quran adalah sebaik-baik zikir ilahiyah. Firman Allah SWT dalam
surah Ali-Imran, ayat 191;
Maksudnya: (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati
Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring”
Memilih tempat yang suci
Tempat suci yang dimaksudkan ialah masjid, surau dan seumpamanya.
Diharuskan membaca di mana sahaja yang dikehendaki asal bukan di bilik air dan
syarat kedua adalah tidak mengganggu orang lain. Membaca Al-Quran di rumah juga
dibolehkan kerana Al-Quran akan membawa keberkatan kepada penghuni rumah
tersebut.
Membaca Al-Quran dalam keadaan yang bersedia
Kita dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan mengantuk. Hal ini
kerana, apabila membaca Al-Quran dalam keadaan mengantuk kita akan cenderung
menyebut bacaan yang salah!
Suci daripada hadas
Tanda kita bersedia untuk membaca Al-Quran adalah kita berada
dalam keadaan berwudhuk. Setelah berwudhuk kita bersih dari hadas kecil. Manakala,
orang yang berhadas besar tidak boleh membaca dengan sebutan, menyentuh dan
membawa Al-Quran. Namun, masih boleh membaca mushaf Al-Quran di dalam hati
tanpa menyentuh dan membawanya.
Selain itu, mereka masih boleh memperbetulkan bacaan Al-Quran orang
lain dengan syarat tidak menyebut ayat yang lengkap. Betulkan perkataan yang
salah sahaja atau beri isyarat jika bacaan itu terdapat kesalahan.
Ulama Mazhab As-Syafi’e membolehkan orang yang berhadas besar
menyentuh dan membawa Al-Quran terjemahan kerana ayat-ayat terjemahan lebih dominan
dari isi Al-Quran itu sendiri walau dalam bahasa apa sekalipun, manakala Ulama Mazhab
Hanafi masih mewajibkan untuk berwuduk bagi mereka yang menyentuh kitab-kitab
tafsir.
Membaca Isti’azah dan Basmalah
Hukum membaca isti’azah (أَعُوذُ بِاللهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ
مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ) adalah sunat, firman Allah SWT
dalam surah An-Nahl, ayat 98, Maksudnya: “Oleh itu, apabia engkau membaca Al-Quran,
maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada
hasutan syaitan yang direjam.”
Membaca basmalah (بسم الله الرحمن
الرحيم ) untuk setiap pekerjaan adalah
untuk membulatkan niat bahawa pekerjaan itu semata-mata kerana Allah SWT.
Jika Mendengar Ayat-ayat Al-Quran Beri Perhatian
Kadang-kadang, ada ayat Al-Quran berkumandang sebelum masuk waktu solat
di surau-surau atau masjid-masjid. Dengarlah lantunan ayat tersebut mengan
penuh perhatian. Bukalah Al-Quran yang ada terjemahan untuk memahaminya dan menghayatinya.
Biasanya surah yang dipasang adalah daripada juzuk yang ke 30 atau surah lazim.
Banyak lagi adab yang perlu diperhatikan semasa membaca Al-Quran
dan mempelajari Al-Quran. Terokailah ilmu-ilmu ini dengan panduan pembacaan dan
bimbingan guru-guru yang ahli dalam bidang ini.
No comments:
Post a Comment