Showing posts with label Bab 1: Diari Produktif Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Bab 1: Diari Produktif Al-Quran. Show all posts

Friday, December 7, 2018

1.9 Gunakan Mushaf Bertajwid


1.9 Gunakan Mushaf Bertajwid

Kini, kita dimudahkan pada untuk membaca Al-Quran dengan tulisan berwarna yang melambangkan hukum tajwid dalam ayat tersebut. Ia sangat sesuai dengan masyarakat yang baru untuk menjinakkan diri dengan Al-Quran. 

Jika kita orang yang sudah mahir membaca Al-Quran, sama ada berwarna atau tidak kita akan membacanya dengan lancar.

Gunakan mushaf Al-Quran yang ditulis menggunakan kaedah Rasm Uthmani. Kerana tulisan selain Rasm Uthmani akan menyukarkan kita untuk membacanya. Al-Quran diturunkan dalam 7 lahjah, maka tidak hairanlah jika kita mendapati ada tulisan Al-Quran menggunakan kaedah lain dalam penulisannya.

Saya menggunakan mushaf terjemahan yang mengandungi pedoman khusus untuk wanita. Ibrah dan tokoh yang disebut di dalamnya semuanya berkaitan dengan wanita. Hadith yang menghuraikan pengertian ayat juga ditakhrijkan sahih dan bukan semberono. 

Begitulah teliti para penjaga amanah (khasnya jawatankuasa redaksi Karya Bestari) dalam pencetakan terjemahan Al-Quran ini. Mereka menyiapkan naskah ini sehingga boleh digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat umum.

Gunakan mushaf yang sama amat digalakkan untuk memudahkan kita menghafal Al-Quran. Perbuatan menukar-nukar mushaf tidak digalakkan kerana ia akan menjejaskan kualiti hafalan.

1.10 Sentiasa Luruskan Niat


1. 10 Sentiasa Luruskan Niat

Dalam menyusun waktu sehari-hari, kita merasakan bahawa masa kita terlalu padat. Sebenarnya kita boleh mengatur masa kita mengikut keutamaan. Kerana itulah kita mendapatkan buku ini untuk mencari celah mana untuk menyisipkan agenda Al-Quran dalam kehidupan.

Saya terkesan dengan firman Allah SWT apabila kita mengatakan bahawa "kami sudah terlalu sibuk" sesungguhnya Allah menjawab,

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah(dengan menjalankan perintah-Nya). Dan sesiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi", 
Al-Munaafiqun ,ayat 9.

Dalam buku 9 Metode Menghafal Al-Quran, karya Majdi Ubaid al-Hafidz ada mengulas tentang realiti manusia yang hidup hanya untuk sekadar hidup. Mereka tidak lagi bergantung dengan Al-Quran sehingga sering mengeluh tentang kesempitan hidup. Antara masalah mereka adalah ekonomi, masalah akhlak kalangan anak-anak, namun mereka masih tidak kembali kepada Al-Quran.

Cuba renungi ayat ini,
"Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari kiamat dalam keadaan yang buta." QS. Taahaa, ayat 124.

Ibnul Qayyim berkata, "maksud peringatan di sini adalah Al-Quran."

Al-Quran adalah penyelesaian untuk umat manusia, kembalilah merujuk kepadanya. Firman Allah,

"...Dan kami turunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu untuk menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk, serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri" QS. Al-Nahl, ayat 89.

Perbaharui Niat
Oleh itu, sebelum kita merutinkan Al-Quran dalam hidup kita, mari kita perbaiki diri dan niat kita dalam setiap aspek pekerjaan. Amalkan doa dari al-Mathurat ini:


 












Gambar ihsan google
Memperbaiki Diri
Kita mesti memperbaiki diri dari sudut hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita dengan manusia. Jadikan Rukun Islam dan Iman sebagai panduannya.

In shaa Allah, dengan rahmat Allah SWT, apabila kita berusaha untuk mendekati Al-Quran, kita akan mendapati diri kita menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Begitu juga jiwa kita akan menjadi lebih tenang dan tenteram menjalani hidup. 

Perbaiki juga komunikasi kita sesama insan lain. Hiasi lagi perwatakan kita dengan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

1.7 Cara Berinteraksi Dengan Al-Quran


1.7 Cara Berinteraksi Dengan Al-Quran

Idea cara berinteraksi dengan Al-Quran ini adalah inspirasi dari kuliah pengajian Ustaz Adi Hidayat Lc.MA. (Sumber: YouTube.com)

Pertama: Qiraatul-Quran
Qiraatul-Quran bermaksud membaca Al-Quran dipetik dari perkataan Arab (Qara'a-Yaqra’u-iqra’) sangat berkaitan dengan ilmu tajwid. Membaca yang dimaksudkan adalah membaca tanpa memikirkan makna perkataannya.

Sebagaimana membaca dalam bahasa Melayu perlu dimulai dengan mengenal huruf, membaca Al-Quran juga sedemikian. Asas membaca Al-Quran adalah mengenal huruf Hijaiyyah dan mengetahui ilmu Tajwid.

Dalam Surah Al-'Alaq, ayat 1, Allah telah memerintah Nabi Muhammad SAW untuk membaca walaupun Nabi Muhammad SAW tidak pandai membaca. Situasinya adalah seperti guru mengajar anak murid yang buta huruf belajar sebut perkataan. Pada mulanya, murid tidak tahu sebutannya. Maka, murid itu hanya perlu sebut selepas guru menyebutnya.

Kedua: Tilawatul-Quran
Tilawatul-quran dalam bahasa Arab membawa kepada tiga maksud. Pertama, membaca, kedua memahami apa yang dibaca dan yang terakhir mengamalkan isinya. Dalam ayat 45, surah Al-Ankabuut, terdapat perbezaan makna perkataan ‘Iqra’ dengan 'Utlu' walaupun terjemahannya bermaksud ‘bacalah’ dalam bahasa kita.

Ayat itu menerangkan tentang perintah Allah kepada Rasulullah SAW untuk membaca kitabullah (Al-Quran) dan mengerjakan solat. Makna tersirat perintah Allah SWT dalam ayat ini ialah; Wahai Muhammad, bacalah ayat perintah dari Al-Quran mengenai solat, fahamilah cara dan konsepnya, dan amalkan dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW pun melakukan perbuatan solat, solat bagindalah yang kita tiru sampai ke hari ini.

Kefahaman mengenai solat di sini termasuklah hikmah kenapa kita mendirikan solat, faham bacaan-bacaan solat dan sebagainya.

Begitulah perbezaan ‘membaca’ dengan penggunaan perkataan ‘iqra’ dan ‘utlu’.

Untuk penjelasan lanjut boleh mendengar penjelasan Ustaz Adi Hidayat dalam video ini.

1.8 Catatan Segera


1.8 Catatan Segera

Penulis mendapat tips ini daripada sahabat solehah bernama Ustazah Maslina Rosdi. Beliau banyak mengajar kami dalam membaca Al-Quran.
                
Catatan segera ini antara satu proses kita mencatat maklumat ibrah atau apa-apa catatan tadabbur dari Al-Quran terjemahan sebelum dipindahkan ke blog. Catatan ini menggunakan sticky note atau nota berpelekat. Contohnya, kita mentadabbur satu ayat, dan ayat tersebut ada ibrah penting yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

Dengan menggunakan sehelai nota berpelekat, catat dan tampal pada muka surat ayat itu berada. Apabila tiba masa untuk mencatat diari, kita akan masukkan juga ayat itu ke dalam diari. Barulah kita mencari tafsir mengenainya.

Tips menggunakan teknik ini:
1. Gunakan mushaf Al-Quran terjemahan.
2. Bawalah mushaf ini ke mana-mana kecuali ke dalam tandas.
3. Nota berpelekat dan pen mesti ada bersama.

 










Ihsan Gambar daripada Google Image

Walau berkali-kali kita membaca Al-Quran, pasti kita akan menjumpai sesuatu yang baru sehingga kita tidak mudah bosan untuk mengkaji isi kandungannya. Itulah mukjizat Al-Quran.

Ilmu untuk merungkai tafsir ayat Al-Quran ada banyak. Mana mungkin kita akan menjumpai penamat untuk mempelajari Al-Quran dalam hidup ini. Biarlah setiap hari kita berteman dengan Al-Quran, hasilnya Al-Quran akan menemani kita walaupun ke dalam kubur dan sehingga Hari Akhirat.

Thursday, December 6, 2018

1.6 Ibadah Paling Utama Bersama Al-Quran


1.6 Ibadah Paling Utama Bersama Al-Quran

Antara membaca dan mendengar Al-Quran, membaca Al-Quran adalah lebih afdhal. Hal ini kerana apabila kita membaca Al-Quran, setiap huruf akan diganjari 10 pahala. Jika 10 huruf, 100 pahala dan seterusnya. Mendengar Al-Quran juga satu pekerjaan yang baik dan mendekati taqwa kerana seolah kita sedang mendengar nasihat-nasihat dari Ilahi.

Ada satu jenaka dari seorang pensyarah mengenai isu membaca Al-Quran atau mendengar Al-Quran. Kata beliau, “Jika kamu suka mendengar Al-Quran dari telefon pintar dari membacanya, kelak, telefon pintar itu akan duduk syurga yang lebih tinggi dari kamu..” Kata-kata ini di sambut dengan gelak ketawa dari para pelajar.

Syarat untuk mendengar alunan bacaan Al-Quran mestilah dalam keadaan tenang dan tidak ada bunyi bising yang mengganggu pembacaan itu. Sering terjadi ketika kita mendengar bacaan Al-Quran, kita sesekali terganggu dengan perbualan, atau kita kurang fokus terhadapnya kerana melakukan pekerjaan lain.

Apabila Makna Al-Quran Difahami
Kelebihan orang yang mempelajari bahasa Arab ialah dapat memahami ayat Al-Quran dengan hanya mendengar. Contohnya ada imam yang menangis kerana tersentuh hati dengan ayat yang dibaca ketika solat.

Ada baiknya ketika membaca ayat tentang manusia ingkar, mohonlah perlindungan dari Allah. Sebaliknya, ketika sampai ayat-ayat menyebut nikmat, kita perlu berdoa ketika itu juga supaya nikmat itu Allah limpahkan kepada kita jua.

Sama juga ketika membaca ayat mengenai tentangan orang kafir terhadap dakwah Rasulullah SAW kita perlu meletakkan diri kita sebagai orang yang hidup pada zaman itu, pasti bergetar jiwa mengenangkan mengenang keperitan perjuangan dakwah RasulNya. Kita akan bersungguh-sungguh mempelajari dan mengamalkan sunnahnya. 

Nilai Kefahaman dan Respon Terhadapnya
Di sinilah terletaknya kepentingan mencatat dapatan hasil kefahaman atau tadabbur kita dengan ayat Al-Quran. Kita perlu mencatat setiap ibrah yang kita dapat dari Al-Quran supaya menguatkan kita untuk beramal dengannya.

Cara penulisan diari Al-Quran tidak terhad kepada yang telah ditunjukkan dalam buku ini. kita masih bebas menentukan cara penulisan catatan tentang Al-Quran yang kita mahukan.

Kongsikanlah bersama keluarga setiap makna ayat yang kita temui di dalam Al-Quran. Berbincanglah dengan guru tafsir kita mengenai makna tersirat yang terdapat di dalam ayat tersebut. Lihatlah penjelasan sunnah bagaimana untuk beramal dengan ayat-ayat itu.


1.2 Adab Membaca Al-Quran



1.2 Adab Membaca Al-Quran

Bersiwak
Antara adab terpenting sebelum membaca Al-Quran ialah, bersiwak. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya mulutmu adalah perantaraan Al-Quran, Maka segarkanlah ia dengan bersiwak.” (HR Ibnu Majah dan Al-Bazzar)

Boleh menonton video ini untuk melihat fadhilat siwak dan cara-cara menggunakannya. Harga siwak sebetulnya tidak mahal. Hanya beberapa ringgit. Dalam video ini terdapat cerita seorang imam, sanggup membayar sejuta Rupiah (nilai duit Indonesia yang menyamai nilai RM290.88 pertukaran duit semasa) untuk mendapatkan siwak baru.

Alasannya apabila ditanya, beliau menjawab, “untuk mengikuti sunnah dan mahu mendapat redha Allah”.

Menghadap Kiblat
Umat Islam digalakkan untuk membaca Al-Quran dengan menghadap kiblat. Sabda Nabi SAW; “Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat.”(HR At-Tabrani)

Membaca Al-Quran dibolehkan dalam keadaan duduk, berdiri dan berbaring atau dengan apa cara sekalipun, ia mendapat pahala kerana membaca ayat Al-Quran adalah sebaik-baik zikir ilahiyah. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 191;

Maksudnya: (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring”



Memilih tempat yang suci
Tempat suci yang dimaksudkan ialah masjid, surau dan seumpamanya. Diharuskan membaca di mana sahaja yang dikehendaki asal bukan di bilik air dan syarat kedua adalah tidak mengganggu orang lain. Membaca Al-Quran di rumah juga dibolehkan kerana Al-Quran akan membawa keberkatan kepada penghuni rumah tersebut.

Membaca Al-Quran dalam keadaan yang bersedia
Kita dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan mengantuk. Hal ini kerana, apabila membaca Al-Quran dalam keadaan mengantuk kita akan cenderung menyebut bacaan yang salah! 

Suci daripada hadas
Tanda kita bersedia untuk membaca Al-Quran adalah kita berada dalam keadaan berwudhuk. Setelah berwudhuk kita bersih dari hadas kecil. Manakala, orang yang berhadas besar tidak boleh membaca dengan sebutan, menyentuh dan membawa Al-Quran. Namun, masih boleh membaca mushaf Al-Quran di dalam hati tanpa menyentuh dan membawanya. 

Selain itu, mereka masih boleh memperbetulkan bacaan Al-Quran orang lain dengan syarat tidak menyebut ayat yang lengkap. Betulkan perkataan yang salah sahaja atau beri isyarat jika bacaan itu terdapat kesalahan.

Ulama Mazhab As-Syafi’e membolehkan orang yang berhadas besar menyentuh dan membawa Al-Quran terjemahan kerana ayat-ayat terjemahan lebih dominan dari isi Al-Quran itu sendiri walau dalam bahasa apa sekalipun, manakala Ulama Mazhab Hanafi masih mewajibkan untuk berwuduk bagi mereka yang menyentuh kitab-kitab tafsir.

Membaca Isti’azah dan Basmalah
Hukum membaca isti’azah (Ø£َعُوذُ بِاللهِ السَّÙ…ِيعِ الْعَÙ„ِيمِ Ù…ِÙ†َ الشَّÙŠْØ·َانِ الرَّجِيمِ) adalah sunat, firman Allah SWT dalam surah An-Nahl, ayat 98, Maksudnya: “Oleh itu, apabia engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.”

Membaca basmalah (بسم الله الرحمن الرحيم ) untuk setiap pekerjaan adalah untuk membulatkan niat bahawa pekerjaan itu semata-mata kerana Allah SWT.

Jika Mendengar Ayat-ayat Al-Quran Beri Perhatian
Kadang-kadang, ada ayat Al-Quran berkumandang sebelum masuk waktu solat di surau-surau atau masjid-masjid. Dengarlah lantunan ayat tersebut mengan penuh perhatian. Bukalah Al-Quran yang ada terjemahan untuk memahaminya dan menghayatinya. Biasanya surah yang dipasang adalah daripada juzuk yang ke 30 atau surah lazim.

Banyak lagi adab yang perlu diperhatikan semasa membaca Al-Quran dan mempelajari Al-Quran. Terokailah ilmu-ilmu ini dengan panduan pembacaan dan bimbingan guru-guru yang ahli dalam bidang ini.

Tuesday, December 4, 2018

1.5 Memahami Tujuan Al-Quran

1.5 Memahami Tujuan Al-Quran

      Mengenal Asas Kehidupan
Allah berfirman, dalam surah Al-Hijr, Ayat 28 maksudnya, “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya, Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering dan lumpur hitam yang diberi bentuk.”

Kita diciptakan untuk menjadi seorang manusia. Bukan menjadi malaikat atau syaitan. Malah, tugas dan fungsi manusia berbeza dengan malaikat dan syaitan. Oleh kerana itu, ketahuilah bahawa Allah SWT telah memberikan kepada kita manual panduan berbentuk kitab Al-Quran untuk kembali ke Akhirat dengan selamat. 

Pun begitu, kewujudan Al-Quran setelah berlalu banyak generasi dalam dunia sebagai mukjizat Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW. Ini bermaksud dakwah para rasul terdahulu disimpulkan ke dalam isi Al-Quran dan sebagai pengajaran dan panduan penting kepada kita untuk menjalani kehidupan di dunia.

Al-Quran telah menceritakan tentang dakwah para Anbiya terdahulu. Seruan dakwah mereka adalah untuk mengajak manusia menyembah Allah SWT dan menolak perbuatan syirik kepadaNya. Kaum yang ingkar telah diberikan azab dahsyat. Sudah banyak kaum yang mengingkari dakwah para utusan Allah ini dihancurkan sekelip mata melalui banjir besar, gempa bumi, ada juga dengan hanya satu teriakan yang dahsyat.

Fungsi Dan Tujuan Penciptaan Manusia 
Mari kita renungi surah Al-Baqarah, ayat 30. Intipati ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan untuk menjadi seorang khalifah di muka bumi. Manakala, Surah Al-Dhariat, ayat 56 menegaskan bahawa Allah menciptakan manusia supaya beribadah kepada-Nya.

Misi manusia hidup di dunia amatlah berbeza dengan malaikat dan syaitan. Malaikat dicipta dengan unsur taqwa. Para malaikat akan sentiasa beribadah. Syaitan pula setelah dikeluarkan dari Syurga akibat dari kesombongannya dan akan sentiasa mengajak kepada kejahatan.

Rumusannya ialah, khalifah adalah ditugaskan mentadbir dunia mengikut lunas-lunas yang diingini oleh Allah. Memastikan kehidupan di dunia ini termasuk manusia, binatang, alam sekitar berada dalam keadaan yang makmur. Semua panduan ini ada dalam Al-Quran.

Manakala, menjadi hamba yang beribadah adalah untuk mewujudkan hubungannya dengan Allah SWT. Hamba Allah yang baik adalah mereka yang meletakkan pergantungannya hanya kepada Allah, kerana itu mereka mengabdikan diri kepadaNya.


Penulis mendapat ilham ini selepas mendengar pengajian "Membumikan Al-Quran" – Pengajian Ust Adi Hidayat Lc,MA, Akhyar Tv. 

Monday, December 3, 2018

1.3 Panduan Menulis Diari Produktif Al-Quran


Menulis Diari
Mulai hari ini, mari kita memahami Al-Quran dan mencatat segala ibrah Al-Quran di dalam diari. Kita namakan diari ini sebagai Diari Al-Quran. Untuk itu, kita perlu menggunakan Al-Quran terjemahan. Mungkin ini aktiviti yang janggal namun, setelah membuatnya, kita akan berasa seronok.

Waktu Sesuai Menulis Diari ini
Masa terbaik untuk mencatat isi-isi penting Al-Quran ke dalam diari ialah ketika bersendirian. Kita akan memuhasabah mengenai isi penting tersebut dan kaitannya dengan diri kita. Aktiviti ini akan mendorong kita untuk sentiasa mengkaji tafsir dan sebagainya untuk memahami konteks sebenar ayat tersebut.

Semasa mengkaji tafsir ayat, kita boleh bertanya kepada guru-guru tafsir yang kita kenal, atau menggunakan tafsir Al-Quran berbahasa Melayu seperti tafsir Al-Azhar tulisan Ulama Nusantara, Buya Hamka.

Selain itu, ramai para asatizah yang mengambil inisiatif untuk memuat naik ceramah atau kuliah tafsir mereka ke Youtube.com dan telah menjadi trend penyampaian maklumat masa kini.
Saya berkenalan dengan dunia tafsir daripada Slot Tafsir di Ikim.fm.Ketika itu penyampainya ialah Ustaz Zahazan Mohamed. Selepas beliau bersara, diganti pula oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman. Ustaz Syaari mempunyai Akademi Sinergi Ikhlas yang sentiasa komited menganjurkan program seminar Ibrah daripada Al-Quran.

Penyampai kuliah tafsir dari luar negara, seperti Ustaz Adi Hidayat, Nouman Ali, dan sebagainya juga bagus untuk dijadikan rujukan.

Walau dengan siapa pun kita rujuki, sumber maklumat yang kita dapat perlu ditulis untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan. Jika menjumpai percanggahan maklumat, segera merujuk dengan orang yang lebih arif.

Perkara yang akan ditulis di dalam diari:
1. Terjemahan/Intipati Ayat Al-Quran
2. Hasil kefahaman daripada intipati di atas.
3. Kajian tafsir spesifik ayat
4. Sumber dapatan tafsir ayat berkenaan.

Perhatian!
Dalam terjemahan Al-Quran ada ayat yang dipanggil ayat ‘Mutasyabbihaat’. Ayat ini menggunakan terjemahan secara zahir. Contohnya pada ayat yang menerangkan tentang ‘anggota’ Allah seperti tangan dan wajah.

Kita perlu mendengar tafsir yang benar tentangnya, jika ada. Jika tiada kita hanya beriman bahawa ‘tangan’ Allah dan ‘wajah’ Allah tidak sama dengan makhluknya. Dilarang sama sekali untuk memikirkan persamaan tentang Allah Azza Wajalla dan Makhluk Allah. Maha Suci Allah dari segala sesuatu.







Saturday, December 1, 2018

1.4 Contoh Penulisan Diari Produktif Al-Quran


1.4 Contoh Penulisan Diari Produktif Al-Quran

Ringkasan Panduan Penulisan Diari ini:
1. Peruntukkan 1 juzuk setiap hari. Jika dalam bulan yang ada 31 haribulan, kita boleh pilih mana-mana juzuk untuk dikaji pada hari itu.

2. Pemilihan ayat, boleh pilih mana-mana ayat yang dibaca, atau didengar dalam juzuk tersebut. Contohnya, jika 2 haribulan, pilih mana-mana ayat dalam juzuk 2. Boleh ambil selembar sekaligus, tiada masalah.
 













Contoh penulisan diari Al-Quran
3. Masa Ideal Membuka Al-Quran:
·         Sebelum atau selepas solat fardhu.
·         Ketika menunggu giliran atau menunggu orang.
·         Ketika mempunyai masa lapang.
·         Sebelum tidur.
4. Catatan mengenai tajwid boleh disertakan jika sudah mempelajarinya.

Khatam Al-Quran:
Mengkhatam Al-Quran adalah dengan membaca ayat Al-Quran dalam bahasa Arab, bukan dengan terjemahan. Ada orang mengkhatam Al-Quran sebulan sekali, ada yang dua bulan sekali atau ada yang 3 bulan sekali.

Setelah ada kemahiran membaca ayat Al-Quran dengan bertajwid, kita cuba mengkhatamkankan Al-Quran mengikut kemampuan dan jika boleh bermujahadah dan ada masa yang terluang teruskan pembacaan untuk khatam.

Berikut adalah cadangan jadual khatam (Menggunakan Al-Quran Rasm Uthmani):
Sebulan sekali

Dua bulan sekali
Tiga bulan sekali
1 juzuk : 1 hari
1 juzuk : 2 hari
1 juzuk : 4 hari
Sebelum solat 2 m/s
Selepas solat 2 m/s
Sebelum solat 1 m/s
Selepas solat 1 m/s
Setiap kali sebelum atau selepas solat wajib baca 1 m/s
Baca sekali dengan maknanya.
Mulakan dengan Khatam 3 bulan sekali

Kebanyakan orang hanya akan berusaha untuk khatam Al-Quran semasa bulan Ramadhan. Ia bagus, tapi lebih bagus lagi jika kita menganggap setiap bulan adalah bulan Al-Quran. Maka dengan itu, kedamaian yang kita dapati ketika bulan Ramadhan juga kita rasai pada bulan-bulan lain. In shaa Allah.


 









Contoh senarai semak juzuk untuk misi khatam Al-Quran

Biodata Penullis 30 Hari Mencari kehidupan

 Biodata Penulis: Ummu Saifah nama pena kepada Siti Azimah Binti Rupilen, anak perempuan kepada pasangan bahagia, En Rupilen @Rafle Naiman d...