1.7 Cara Berinteraksi Dengan Al-Quran
Idea cara berinteraksi dengan Al-Quran ini adalah inspirasi
dari kuliah pengajian Ustaz Adi Hidayat Lc.MA. (Sumber: YouTube.com)
Pertama: Qiraatul-Quran
Qiraatul-Quran
bermaksud membaca Al-Quran dipetik dari perkataan Arab (Qara'a-Yaqra’u-iqra’)
sangat berkaitan dengan ilmu tajwid. Membaca yang dimaksudkan adalah membaca
tanpa memikirkan makna perkataannya.
Sebagaimana membaca dalam bahasa Melayu perlu dimulai
dengan mengenal huruf, membaca Al-Quran juga sedemikian. Asas membaca Al-Quran
adalah mengenal huruf Hijaiyyah dan mengetahui ilmu Tajwid.
Dalam Surah Al-'Alaq, ayat 1, Allah telah memerintah Nabi
Muhammad SAW untuk membaca walaupun Nabi Muhammad SAW tidak pandai membaca.
Situasinya adalah seperti guru mengajar anak murid yang buta huruf belajar sebut
perkataan. Pada mulanya, murid tidak tahu sebutannya. Maka, murid itu hanya
perlu sebut selepas guru menyebutnya.
Kedua: Tilawatul-Quran
Tilawatul-quran dalam
bahasa Arab membawa kepada tiga maksud. Pertama, membaca, kedua memahami apa
yang dibaca dan yang terakhir mengamalkan isinya. Dalam ayat 45, surah
Al-Ankabuut, terdapat perbezaan makna perkataan ‘Iqra’ dengan 'Utlu'
walaupun terjemahannya bermaksud ‘bacalah’ dalam bahasa kita.
Ayat itu menerangkan tentang perintah Allah kepada
Rasulullah SAW untuk membaca kitabullah (Al-Quran) dan mengerjakan solat. Makna
tersirat perintah Allah SWT dalam ayat ini ialah; Wahai Muhammad, bacalah ayat
perintah dari Al-Quran mengenai solat, fahamilah cara dan konsepnya, dan amalkan
dalam kehidupan seharian. Rasulullah SAW pun melakukan perbuatan solat, solat
bagindalah yang kita tiru sampai ke hari ini.
Kefahaman mengenai solat di sini termasuklah hikmah kenapa
kita mendirikan solat, faham bacaan-bacaan solat dan sebagainya.
Begitulah perbezaan ‘membaca’ dengan penggunaan perkataan ‘iqra’
dan ‘utlu’.
No comments:
Post a Comment